In the Name of Allah, the Most Gracious, the Most Merciful

"And when I am ill, it is He Who cures me" Ash-Shu'araa 26:80

Tuesday, March 21, 2006

The Journey

assalamualaikum warahmatullah and hello everyone...

the following is a personal recollection... after more than 5 months of total "stagnant-ness" I came up with the following story... have to wait few more months though to have it translated to English... enjoy...


Jam loceng berdering. 5.20 pagi. Pagi yang tidak seperti pagi-pagi yang lain. Aku segera bangun dari katil mempersiapkan diri untuk menghadap Tuhan.

Selesai sahaja solat, aku bersarapan ringkas. Kopi ‘o’ secawan. Ingin makan roti bakar, sayangnya bungkusan roti ada kesan gigitan Cik Ti, meskipun roti-roti di bahagian atas tidak rosak. Namun, untuk mengelakkan berlakunya masalah-masalah yang tidak diingini, contohnya penyakit hawar dan taun, maka aku tidak teragak-agak untuk membuang terus bungkusan roti itu.

Aku menelefon Anas. Hendak tahu siapa yang akan menumpang kereta yang bakal aku pandu. Budak-budak 150 katanya, termasuk Raslam. Kemudian aku hubungi Zahrin pula. Minta mereka datang ke hadapan rumah. Terus aku keluar memanaskan enjin kereta Proton Persona yang dipinjam dari Abang Jupri. Alhamdulillah, aku telah selesai mengemas barang-barang ku pada malam sebelumnya lagi. Tidak perlu untuk aku berkelam-kabut pagi ini.

Pukul 6 pagi di UK pada awal musim bunga ini sama sahaja keadaannya dengan pukul 8 pagi di tanahair. Sudah terang benderang. Dalam masa 10 minit, bakal-bakal penumpang pun tiba. 5 orang semuanya. Zahrin, Zaini, Shukri, Raslam dan Siru. Anas menyusul dengan kereta Proton Iswara kepunyaan Faisal dari Cheetham Hill. Yang di dalam kereta bersamanya adalah Shahrin dan Sufian.

Kini kami hanya menunggu kereta yang terakhir. Penantian tidak lama, lebih kurang 5 minit sahaja. Hakimi memandu, dan di sebalik cermin kereta yang berwap, aku dapat melihat wajah-wajah ceria Najib, Hisham, Farhat dan Shazli.

6.20 pagi. Persediaan terakhir sebelum bertolak. Beramai-ramai kami meriuhkan suasana pagi di stesen minyak Esso Chorlton. Arahan pergerakan dikemaskinikan buat kali terakhir dengan bantuan abang-abang ‘senior’ seperti Shukri dan Farhat. Aku diamanahkan untuk memandu kereta mendahului kereta-kereta lain.

Tanpa disuruh, Shukri sudah pun duduk di tempat duduk hadapan. Semua orang sudah maklum. Zaini, Siru dan Raslam memenuhkan ruang di belakang. Zahrin pula menaiki kereta yang dipandu Anas. Perlu ada orang yang berpengalaman untuk mengawas kereta yang dinaiki oleh adik-adik muda. Anas, Sufian dan Shahrin semuanya sebaya, masih belum berdaftar sebagai pengundi di Malaysia. Masih banyak yang perlu dipelajari. Kereta yang satu lagi juga sudah penuh. Hanya menunggu sahaja masa untuk memulakan perjalanan.

Dan perjalanan pun bermula, lebih kurang 6.30 pagi. Destinasi kami ialah Coventry, menyertai Warwick Games. Tujuan utama kami, bermain bolasepak kerana Allah. Telah ditekankan sejak sebelum bertolak lagi. Sebagai tarbiyah badaniyyah, di samping merapatkan ukhuwwah dengan sahabat-sahabat dari pasukan-pasukan lain.

Sebelum aku terlupa, pasukan kami mendaftarkan 16 orang pemain. Daripada 14 orang yang berkonvoi dari Old Trafford, hanya Raslam seorang sahaja yang menjadi penyokong merangkap pengurus dan pengkritik pasukan. Azlan, Afif dan Akmal sudah pun menanti di Coventry sejak malam sebelumnya lagi.

Azam kami untuk memperbaiki catatan-catatan tahun-tahun lepas. Kali terakhir memenangi pingat adalah pada tahun 2003, sewaktu kami mendapat tempat kedua. Aku masih ingat perlawanan akhir itu, pasukan Manchester sudah tiada pemain simpanan lagi. Aku yang bermain di posisi bek tengah sejak awal pertandingan, terpaksa menjadi pemain tengah bersama Zamir, yang juga pasanganku di bahagian pertahanan sebelum perlawanan akhir berkenaan. Shukri dan Hanief pula terpaksa beraksi sebagai bek tengah. Akhirnya dibelasah 4-1 oleh pasukan Royal Holloway.

Tahun 2004 ke suku akhir, tersingkir gara-gara salah faham di antara Azlan dan Zamri, akibatnya tandukan Azlan menerjah jaring sendiri. Tahun lalu tidak perlu dikenang lagi. Kalah sejak di peringkat kumpulan.

Perjalanan mengambil masa lebih kurang dua jam. Kami tiba agak awal di Coventry. Aku mengambil kesempatan membawa teman-temanku bersiar-siar di sekitar bandaraya Coventry sebelum bergerak menuju destinasi akhir kami, The University of Warwick.

Syukur, setalah mendaftarkan pasukan, Anas mengesahkan bahawa kita akan bermain di Padang 1, bersebelahan tempat letak kereta. Mudah. Agak hampir juga dengan bilik persalinan pemain.

Pasukan Manchester diletakkan dalam kumpulan D, bersama-sama pasukan tuan rumah, Warwick A dan dua pasukan lain iaitu Southampton dan Bedford. Pasukan kami yang mula-mula memanaskan badan di atas padang berkenaan. Setelah beberapa ketika, baru kelihatan kelibat pasukan Warwick A. Sepatutnya perlawanan pertama di antara Bedford dengan Southampton. Namun pasukan dari London itu tidak muncul-muncul. Pasukan Southampton juga tiba agak lewat sedikit.

Pengadil tempatan yang dibayar khas oleh penganjur akhirnya mengarahkan pasukan kami masuk ke padang, menentang pasukan Warwick A. Kedua-dua memakai jersi berwarna jingga. Siapa yang akan mengalah? Kami mengambil keputusan menukar kepada jersi biru untuk perlawanan ini. Seperti biasa, aku bermula di posisi simpanan. Hanya menunggu masa untuk dipanggil masuk. Afif menawarkan diri menjadi penjaga garisan. Sebagai pemanas badan katanya

Perlawanan agak seimbang, walaupun pasukan tuan rumah lebih cepat panas. Aku dipanggil menggantikan Shukri pada babak-babak akhir perlawanan. Berjaya membuat lontaran ke dalam sebanyak dua kali. Ingin membantu pasukan mencari gol pendahuluan yang masih belum kunjung tiba. Akhirnya wisel penamat dibunyikan. 0-0 kesudahannya.

Perlawanan seterusnya adalah di antara Southampton dengan Warwick A. Alhamdulillah bukan giliran kami. Hampir kesemua pemain kami kepenatan walaupun bermain lebih kurang 20 minit sahaja. Aku dijemput untuk menemani Afif membantu pengadil mengawal perlawanan sebagai penjaga garisan.

Perlawanan itu turut berkesudahan tanpa sebarang jaringan. Malang tidak berbau. Kecederaan lama di lutut kiriku datang kembali. Walaupun ketika aku sekadar menjadi penjaga garisan. Memang sejak perlawanan pertama tadi sudah terasa sedikit sengalnya.

Aku tidak dapat memulakan perlawanan kedua menentang Southampton. Pasukan terpaksa menggunakan barisan pertahanan yang sama dengan perlawanan pertama. Aku hanya mampu bersorak dari tepi padang. Separuh masa pertama, pasukan Manchester mendapat tendangan percuma berdekatan kotak penalti lawan, betul-betul di hadapan gol. Shukri seperti biasa merembat kencang, bola terkena benteng lawan dan melantun semula ke kaki Shukri. Kali ini, tendangan Shukri masuk menerjah jaring Southampton. 1-0 untuk Manchester. Perlawanan semakin rancak, dan kali ini giliran Southampton pula memperoleh tendangan percuma. Dilambungkan bola itu ke dalam kotak penalti pasukanku. Berjaya disepak keluar dari kawasan bahaya.

Tiba-tiba wisel berbunyi. Pengadil menunjukkan jarinya ke titik penalti. Apa yang sudah berlaku? Dikhabarkan Sufian telah menarik lawan yang sedang melompat jatuh ke tanah. Dan pengadil tidak teragak-agak untuk menghadiahkan sepakan penalti kepada Southampton. Dan tidak teragak-agak jugalah penyerang pasukan Southampton menjaringkan gol, yang selama ini dikawal ketat oleh Najib. Aku menonton dengan pandangan hampa dari luar padang. Sehingga ke akhir perlawanan, tiada lagi gol yang boleh disorakkan. 1-1 keputusan akhir perlawanan.

Objektif awal sudah dicapai. Mara ke pusingan kedua sebagai pasukan yang menduduki dua tempat teratas dalam kumpulan. Warwick A terpaksa berpuas hati di tempat ketiga, untuk masuk ke suku akhir bahagian ‘Plate’. Pasukan Bedford yang kami tunggu-tunggu tidak menampakkan diri, maka sahlah bahawa kesemua pasukan dalam kumpulan D mendapat mata kemenangan percuma.

Yang tinggal hanyalah penentuan juara kumpulan. Pengadil meminta kedua-dua pasukan bersedia untuk tendangan penalti. Aku seperti biasa, menawarkan diri mengambil sepakan yang terakhir. Dipendekkan cerita, sepakan penalti Sufian terus ke dakapan penjaga gol Southampton. Kami tewas 5-3. Aku tidak sempat untuk mengambil penalti. Tidak akan mengubah nasib pasukan sedikit pun sekiranya aku menjaringkan penalti tersebut. Namun begitu kami bersyukur kerana berjaya melangkah ke suku akhir.

Kami mendapat rehat yang agak panjang berbanding dengan pasukan-pasukan lain. Para pemain mengambil kesempatan untuk makan tengahari, solat dan berehat. Dalam pada itu kami mendapat berita bahawa lawan seterusnya ialah St. Andrews. Pasukan gabungan bekas-bekas pelajar Kolej Matrikulasi Yayasan Satu, Lembah Beringin. Yang ajaibnya, tidak ada seorang pun pemain mereka yang belajar di St. Andrews. Namun begitu pasukan Manchester tidak merungut. Demi menjaga maruah dan semangat kesukanan yang sentiasa tinggi.

Perlawanan bermula jam 2.00 petang. Aku tidak yakin dengan keadaan lututku yang semakin teruk. Sekali lagi aku terpaksa memerhatikan perlawanan dari luar. Zaini mengambil tugas penjaga garisan. Perlawanan agak menarik dengan cubaan dari kedua-dua pasukan. Namun jauh di sudut hati aku merasakan bahawa pasukan St. Andrews lebih bersemangat. Tamat separuh masa, keputusan masih lagi 0-0. Anas memanggil Zaini dan Akmal masuk menggantikan Farhat dan Hakimi. Pertukaran taktikal. Bendera penjaga garisan dihulurkan kepadaku. Aku mengerti. Kelayakan dan pengalaman yang aku ada perlu digunakan sebaik-baiknya. Sekurang-kurangnya membantu penganjur melancarkan kejohanan kali ini.

Separuh masa kedua aku rasakan lebih hebat. Pasukan Manchester lebih bersemangat. Lebih banyak mengatur serangan. Aku turut bersorak dari tepi padang. Sungguhpun begitu, sebagai penjaga garisan aku tidak lalai. Aku harus membantu pengadil. Tidak boleh berat sebelah. Tugasku dijalankan dengan baik sehingga ke akhir perlawanan. 0-0.

Kami bersedia lagi untuk tendangan penalti. Zaini akan menggantikan Najib menjaga gol pasukan. Aku masih akan mengambil tendangan kelima. Tendangan yang terakhir. Pemain demi pemain mengambil sepakan. Sampai giliranku, jaringan 3-3. Jika sepakanku masuk, maka pasukan Manchester akan menang. Aku sudah biasa dengan keadaan ini. Sepanjang aku berada di UK ini, sudah lebih tiga kali aku menjaringkan gol kemenangan semasa penentuan sepakan penalti.

Bola aku rembat terus ke arah penjaga gol. Sayang, sepakan penalti terpaksa diteruskan lagi. Akmal terduduk melihat tendanganku yang tidak menerjah gawang lawan. Sekali lagi, pemain demi pemain mengambil sepakan. Akhirnya sampai ke keadaan yang lebih kurang sama dengan keadaanku tadi. Jika kami menyempurnakan sepakan tersebut, maka kami akan menang. Zaini menawarkan diri. Sepakan dilakukan dengan tenang dan berjaya menewaskan penjaga gol lawan. Manchester ke separuh akhir!

Aku berasa lega meskipun tidak menjaringkan gol. Kawan-kawanku dari pasukan St. Andrews sudah pun mengugut untuk membuat laporan sekiranya tendanganku itu berjaya disempurnakan. Alasannya aku tidak layak untuk mengambil sepakan kerana aku tidak bermain langsung. Ada juga hikmahnya sepakan tersebut diselamatkan. Walaupun ugutan tersebut tidak bernada serius. Lebih bersifat main-main. Yang pasti, menang tetap menang.

Seven Kings. Itulah nama lawan separuh akhir kami. Pasukan dari London. Ada beberapa pemain mereka yang cukup dikenali dan disegani. Namun seperti biasa, Manchester tidak gentar. Kami pasukan sempoi. Siapa sahaja lawan kami, akan ditentang habis-habisan.

Aku hanya mampu memberi semangat. Juga menyumbang tenaga menjadi penjaga garisan. Membantu menyampaikan kata-kata perangsang kepada pasukan. Ternyata kesannya dapat dilihat dalam perlawanan separuh akhir itu. Jelas dan nyata, pasukan Manchester yang mengawal tempo permainan. Serangan dari pelbagai arah. Kiri, kanan, dan tengah semuanya telah dicuba. Hanya nasib yang tidak menyebelahi kami, perlawanan berkesudahan 0-0.

Sekali lagi tendangan penalti digunakan untuk menentukan pemenang. Anas memulakan sepakan penalti dengan menyepak keluar ke sebelah kiri. Meskipun diberikan peluang untuk membuat sepakan semula, masih ditendang keluar kali ini melepasi palang gol. Mungkin kerana perubahan suasana, kami tewas 3-1. Aku tidak berkesempatan untuk mengambil sepakan penalti.

Kehampaan kami sebentar cuma. Keinginan untuk memenangi perlawanan penentuan tempat ketiga telah menaikkan semangat kami. Westminster nama pasukan lawan kami. Juga dari London. Mereka dikalahkan oleh pasukan Norwich dalam separuh akhir yang lain dengan jaringan 2-0. Pasukan Norwich merupakan juara bertahan. Seperti pasukan St. Andrews, tidak ada seorang pun pemain mereka yang tinggal atau belajar di Norwich.

Aku diamanahkan sebagai penjaga garisan untuk kesekian kalinya. Kesukaran untuk berlari tidak mematahkan semangatku untuk membantu pengadil dan pasukan. Manchester meneruskan kegarangan. 2 gol awal dijaringkan oleh Hakimi. Yang pertama hasil hantaran lintang Shahrin. Gol kedua dari sepakan sudut yang gagal ditepis kelaur oleh penjaga gol lawan. Terus dirembat kencang oleh Hakimi pada percubaan yang kedua. Pasukan Westminster tidak mampu memberi saingan sungguhpun kami bermain dengan agak kasual. Najib menukar posisi menjadi penyerang pada separuh masa kedua, digantikan di gawang gol oleh Akmal. Beberapa percubaan tidak menepati sasaran. Zahrin, Anas dan Afif masing-masing mensia-siakan peluang yang terbuka. Wisel penamat ditiupkan juga akhirnya. Kemenangan 2-0 berjaya dilakar oleh pasukan Manchester.

Kami menamatkan kejohanan pada petang itu sebagai pasukan pelajar Malaysia yang ketiga terbaik di bumi UK dalam acara bolasepak 11-sebelah. Norwich mengekalkan kejuaraan Warwick Games 2006 setelah menewaskan Seven Kings 1-0 pada perlawanan akhir. Selesai upacara penyampaian hadiah, kami bergegas pulang. Semua 14 orang yang sama, ditambah dengan Afif yang memenuhkan kuota penumpang kereta yang dipandu oleh Anas.

Perjalanan pulang bermula lebih kurang jam 6.30 petang. Aku menggagahkan diri untuk memandu walaupun lutut kiriku terasa bisa. Sukar untuk aku memijak pedal klac kereta. Kami berhenti rehat di salah sebuah perhentian di lebuhraya M6, berdekatan dengan Birmingham. Aku meminta Shukri menggantikan tempatku di kerusi pemandu.

Perjalanan diteruskan dan syukur Alhamdulillah, kami selamat tiba di Manchester lebih kurang jam 9.00 malam. Shukri membantu aku menghantar Raslam dan Siru ke tempat tinggal mereka, dan kemudian kami ke Cheetham Hill untuk memulangkan semula kereta Abang Jupri dengan ditemani oleh Anas. Setelah menikmati hidangan teh berperisa di rumah Abang Jupri, kami pun bertolak menghantar Shukri ke kediamannya di Fairfield General Hospital, Bury. Malam itu, aku dan Anas tiba semula di Old Trafford pada jam 11.30 malam. Maka berakhirlah perjalanan kami dari Manchester bumi bertuah, ke Coventry membuktikan kehandalan, dan kembali semula ke Ayres Road ini. Kereta Faisal selamat dipulangkan pada keesokan harinya.

Aku ambil kesempatan ini untuk mengucapkan sekalung tahniah kepada barisan pemain Manchester di atas kejayaan merangkul pingat gangsa Warwick Games pada tahun ini. Meskipun banyak rintangan yang perlu dihadapi, namun semangat berpasukan yang ditunjukkan sedikit sebanyak memudahkan lagi perjalanan menempuh laluan.

Terima kasih kepada kawan-kawan MCOT yang tidak putus-putus memberi sokongan moral dan material. Juga buat abang-abang di Cheetham Hill kerana sudi membantu meminjamkan kereta. Tidak lupa buat William 124 kerana turut menawarkan kereta beliau.

Tahniah juga kepada pasukan Norwich yang menang tempoh hari, turut dibantu oleh dua orang anak Manchester iaitu Azreezal dan Faizal. Semoga pasukan bolasepak Manchester akan terus gemilang pada masa hadapan, insha Allah.

Semoga kita terus berpegang teguh kepada motto pasukan tahun ini, iaitu

“tahun lepas kita tunggu Sele, tahun ni Sele pulak tunggu kita…”

“Oh God, please help us to win, for we always want to win. But if in thy inscrutable wisdom that willest us not to win, then make us good losers. For when the great scorer comes, to write against your names, he writes not you won or you lost, but how you played the game”

Sportsman Prayer

1 Comments:

At 4:44 pm, Anonymous Anonymous said...

Cool blog.
Please take a look at mine and link it up here.
Thanks

 

Post a Comment

<< Home